berminat? cuba klik disini..

Showing posts with label Islamic. Show all posts
Showing posts with label Islamic. Show all posts

Wednesday, August 5, 2009

..::Nisfu Sya'ban::..

Nisfu Sya'ban bakal kita temui tak lama lagi. Hari nisfu sya’ban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan digantikan dengan buku catatan yang baru. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil peluang terakhir ini untuk menutup buku amalan kita selama setahun dengan baik dan sempurna, dan berazam untuk memperbaiki amalan-amalan kita yang sudah lepas dan memperbanyakkannya untuk di tulis dalam buku amalan baru yang akan kita terima.

Telah diriwayat dari Osman Bin Abi Al-As, sabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Pada malam nisfu sya’baan setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman:
"Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya."

Sebaik-baiknya mintalah ampun dari kedua ibubapa, kerana amalan kita akan terhalang dari di angkat ke langit sekiranya kita derhaka atau berdosa dengan ibubapa. Juga di sunatkan kepada kita untuk berpuasa pada hari nisfu sya'ban sebagaimana hadis RasuluLLah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari maksudnya:
"Dari Abi Salmah, dari Aisyah RadhiaLLahu 'anha berkat: Adalah RasuluLLah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Baginda akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat lebih banyak daripada puasa di bulan Sya'ban".

Abul Khair Al Talaqaani r.a. pula mengira 22 nama lain bagi malam nisfu sya’baan. Antara yang termasyhur ialah:
  1. Malam Dimustajabkan Doa.
  2. Malam Pembahagian Takdir.
  3. Malam Rahmat.
  4. Malam Berkat.
  5. Malam Pengampunan (Taubat).
  6. Malam Penebusan.
  7. Malam Syafaat.
  8. Malam Penulisan.
  9. Malam Keagungan dan Kemuliaan.
  10. Malam Rezeki.
  11. Malam Hari Raya Para Malaikat. dan
  12. Malam Penghidupan.

Jadi, marilah kita sama-sama memeriahkan hari nisfu sya'ban tahun ini dengan memperbanyakkan amalan ibadat. Moga amalan kita selama satu tahun ini di terima oleh Allah Taala. Mudah-mudahan dengan tarbiyah Allah Taala pada bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan ini dapat memberikan kesan yang baik pada diri kita selaku hambaNya.

Tuesday, July 28, 2009

Tazkirah buat semua

"Kesempurnaan yang hakiki ialah adanya ilmu dan amal. Selain dua hal ini, merupakan kesempurnaan bayangan, sebab pasti akan lenyap setelah yang memilikinya itu meninggal dunia"
-Imam Al Ghazali

Saturday, July 18, 2009

Tutup Menutup


dari:Ummu Aisyah, Gelang Patah, 11.04 pm, Ahad.


"Cikgu, tak rimas ker pakai tudung labuh?"

"Cikgu, tak panas ker pakai sarung tangan?"

Soalan-soalan di atas adalah antara pertanyaan yang diajukan kepada saya pertama kali menjejakkan kaki ke kelas saya mengajar. Mungkin bagi mereka pemandangan ini agak janggal, lagipun saya bukannya mengajar subjek Pendidikan Islam, tetapi Matematik. Mungkin pada pandangan mereka sarung tangan dan tudung labuh hanya layak dipakai oleh guru agama.

Pertanyaan mereka tidak saya jawab dengan segera. Lalu saya tanyakan kepada mereka.

"Kenapa pulak kamu bertudung ke sekolah?"

"Sebab itu peraturan sekolah cikgu." Balas mereka pula.

"Ok, sekarang ni kamu bertudung sebab itu peraturan sekolah kan?. Kamu terikat dengan peraturan sekolah. Tapi siapa pula yang ciptakan kita? "

"Allah, Cikgu." Balas mereka serentak.

"Haa, dan salah satu daripada perintah Allah adalah menutup aurat. Betul tak? Jadi itulah sebabnya kenapa saya menutup aurat."

Mereka terdiam, saya mengharapkan agar mereka memahami apa yang saya katakan sebentar tadi.


**************************************************************************************
Aurat wanita

Tidak banyak yang saya ingin ceritakan di sini. Cuma sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan- rakan sekalian tentang kepentingan menutup aurat.

Tambahan pula saya baru selesai membaca buku " Risalah Hijab " karya Syeikh Muhammad Bin Salleh Bin Uthaimin untuk kali kedua. Dan apa yang saya fahami dari bacaan buku tersebut, penulis menegaskan akan kepentingan Hijab kepada wanita muslim. Iaitu wanita muslim wajib menutup seluruh badannya termasuk muka.

Ini berdasarkan pandangan beliau terhadap ayat dari surah an-Nur yang bermaksud:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) , dan memelihara kehormatan mereka ; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup (melabuhkan tudung mereka) ke belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka atau anak- anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara mara mereka, atau anak bagi saudara -saudara mereka yang lelaki, atau atau anak bagi saudara -saudara mereka yang perempuan, atau perempuan- perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkenginan terhadap perempuan, atau kanak-kanak yang masih tidak mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman agar mereka berjaya."

(An Nuur :31)

Menurut pandangan penulis buku tersebut, Allah telah memerintahkan perempuan muslim agar melindungi kemaluan mereka dan perintah ini ( melindungi kemaluan) tidak terhad kepada menutup kemaluan sahaja tetapi juga muka kerana dengan terdedahnye muka akan membawa kepada jelingan dan merenung kepada kecantikannya untuk mendapatkan keseronokan. Jadi, dengan menutup muka turut akan membawa perlindungan kepada perempuan tersebut secara keseluruhannya.

Dan menurut pengarang tersebut melalui ayat berikut:

"dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.."

merupakan perintah untuk menutup aurat termasuk muka kerana sedangkan menghentakkan kaki (berjalan dalam keadaan menunjukkan kecantikan) pun sudah dilarang, maka apakah yang dapat dikatakan tentang tidak menutup muka? Bukankah godaan melihat muka perempuan yang terdedah adalah lebih merbahaya berbanding mendengar bunyi gelang kaki dari seorang perempuan yang menutup seluruh badan termasuk mukanya?

*******************************************************************************************

Berbeza pula keadaannya ketika saya menghadiri Kelas Utaz Adlan B. Abdul Aziz pada 15 September 2008 yang lalu. Dimana beliau menerangkan bahawa ayat di atas tidak menyatakan akan kewajipan menutup seluruh muka terhadap perempuan muslim, memadai hanya menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Ini berdasarkan hadis Imam Bukhari rahmatullahi alaihi diriwayatkan daripada Jabir radiallahu anhu bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah menunaikan solat hari raya dan selepas itu menasihati orang ramai.Selepas itu baginda bangun dan berucap kepada kaum wanita dengan bersabda:

"Wahai perempuan, berikanlah sedekah kerana kebanyakan bahan bakar api neraka Jahannam adalah kaum wanita."

Kaum wanita (dari himpunan itu) yang pipi-pipi mereka kemerahan kerana angin panas Arab terus berdiri.

Maka terbukti di sini bahawa terdapat sebahagian kaum wanita yang tidak menutup muka kerana jika muka mereka tertutup, tiada seorang pun tahu bahawa pipi-pipi mereka kemerahan disebabkan panas matahari.

Alasan yang kedua ialah Imam Bukhari rahmatullahu alaihi meriwayatkan daripada Ibn Abbas radhiallahu anhu bahawa saudara Ibn Abbas radhiallahu anhu, Fadl radhiallahu anhu telah menunggang kuda di belakang Nabi S.A.W di atas binatang tunggangan yang sama di dalam Haji Wida'. Semasa berjalan, seorang perempuan dari kabilah Khath'am muncul n Fadl radhiallahu anhu melihat kepadanya dan ia mula melihat kepadanya.Nabi S.A.W pun mula memusingkan kepala Fadl ke arah lain. Hadis ini menunjukkan bahawa wajah wanita itu terbuka.


Dengan mengambilkira 2 hadis di atas,terdapat pandangan bahawa aurat wanita adalah meliputi seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Tetapi ini tidaklah bermaksud bahawa perempuan muslim dilarang untuk memakai niqab( menutup seluruh mukanya).Kerana andainya niqab diharamkan tentulah ia dinyatakan di dalam Al- quran dan hadis.

Dalam hal ini, kita harus lebih berhati-hati dalam mengkaji hadis agar kita dapat mengetahui berapa banyak hadis yang menghalang pembukaan wajah dibandingkan dengan yang membenarkan pembukaan muka.Dan saya yang masih lagi dalam proses mencari ini memohon kepada Allah agar terus diberi kesempatan dan peluang untuk menambahkan ilmu agar dapat dikongsi bersama.

Setakat ini coretan pertama saya. Mohon kemaafan andainya tulisan saya ini banyak kekurangannya.
Wassalam.

Wednesday, July 1, 2009

"Rejab Kembali Lagi"

Tarikh 1 Rejab 1430 Hijriah bagi tahun Masihi 2009 jatuh pada 24 Jun 2009 (Rabu). Akhirnya bulan Rejab muncul kembali dan kita sebagai Muslim harusnya berasa bersyukur kerana masih diberi nikmat kesihatan, kelapangan dan keselesaan oleh Allah S.W.T untuk melalui bulan yang agung ini. Ia merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam. Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan bulan Rejab, bulan ketujuh di dalam kalendar Islam. Rejab bermaksud ta’azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah S.W.T. akan melimpahkan rahmat-Nya, kemurahan-Nya kepada seluruh hambanya yang beriman.

Peristiwa penting yang telah berlaku dalam bulan Rejab:

  1. Israk dan Mikraj (27 Rejab)
  2. Solat 5 waktu difardukan ke atas umat Islam (Malam Israk Mikraj)
  3. Perang Tabuk terjadi di dalam tahun ke-9 Hijrah.

Secara ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa di mana Nabi Muhammad S.A.W telah di”israk”kan (dibawa berjalan) dari Kota Mekah ke Baitul Muqaddis serta di”mikraj”kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntaha untuk mengadap Allah S.W.T di mana Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah S.A.W. Semuanya berlaku di dalam satu malam sahaja. Firman Allah SWT:

"Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"

–Petikan dari Surah Al Israa ayat 1.


Bulan Rejab merupakan sebuah bulan yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada umat-Nya, kerana Rejab adalah bulan Allah. Pintu rahmat terbuka luas kepada umat-Nya untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas. Namun begitu, suka diingatkan bahawa kita perlu mengerjakan segala amalan yang dituntut ini dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.


Rejab bulan Allah, Sya’aban bulan Rasulullah. S.A.W, Ramadhan bulan umat Rasulullah S.A.W.

Rejab adalah bulan menabur benih, Sya’aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.

Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya’aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.

Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya’aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.

Rejab adalah bulan taubat, Sya’aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.

Monday, June 29, 2009

BerSABARlah...

MENGUNGKAP perkataan sabar, tenang, jangan marah, jangan ikut hati, jangan gopoh dan reda kepada orang lain memang mudah. Itulah kata-kata azimat sebagai tanda simpati dan nasihat kepada individu berdepan musibah atau keadaan memerlukan kesabaran untuk menghadapinya.

Namun, ternyata amat payah untuk diri sendiri mengamalkan sikap sabar. Ketika menghadapi musibah atau keadaan yang mengatasi daya ketahanan fizikal dan mental, memang amat sukar untuk bersabar. Sebab itu, individu dalam keadaan sedemikian memerlukan sokongan emosi daripada orang lain.

Sabar bererti menahan diri ketika mengalami penderitaan, musibah, keadaan tidak diingini dan kegagalan. Sifat sabar juga diperlukan agar tidak mengikut kehendak hati atau perasaan mendorong melakukan perbuatan mendatangkan keburukan.

Tanda sabar juga ialah apabila sanggup melakukan perkara sukar demi untuk mendapat kebaikan. Istiqamah dan kesungguhan yang tinggi, serta sanggup menghadapi tempoh panjang dalam melakukan sesuatu tugas juga termasuk dalam erti sabar.

Banyak sekali Firman Allah Taala yang menceritakan tentang sabar. Antaranya:

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan membalas orang yang sabar dengan memberikan pahala lebih baik daripada apa dikerjakan oleh mereka.” (Surah an-Nahl, ayat 96).


Disini saya sertakan video yang telah di berikan oleh sahabat saya berkenaan dengan sabar sebagai iktibar untuk kita semua. ^_^

"Sabar itu tali iman yang kuat
Benteng pertahanan dari tipuan syaitan
Sabar punya akibat terpuji
Akibat tergesa-gesa adalah rugi"



Wednesday, June 17, 2009

Pengajaran Buat Diri

Imam Syafie bermadah:
Kita Mengaibkan zaman kita sedangkan keaiban itu pada diri kita,
Tidak ada keaiban pada zaman kita kecuali keaiban itu adalah kita.

Kita Mengutuk zaman kita YANG TIDAK BERDOSA,
Sekiranya zaman itu boleh berkata-kata nescaya ia akan mengutuk kita.

Tidak ada serigala yang memakan daging serigala,
Tetapi sebahagian daripada kita memakan sebahagian yang lain secara nyata.



Imam Ali RadhiaLLahu 'Anhu berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya dari kalangan lelaki (manusia) itu ada haiwan, dalam rupa bentuk manusia yang mempunyai pendengaran dan penglihatan, bijak dan cekap mengurus hartanya apabila ditimpa keaiban dan kekurangan. Tetapi apabila musibah menimpa agamanya, tidak dihiraukan."

Sunday, June 7, 2009

..~PERSAMAAN LELAKI DAN WANITA.~..


MUQADIMAH.


Isu persamaan antara lelaki dan wanita adalah persoalan masyarakat itu sendiri, kerana ia merupakan komponen utama dalam masyarakat. Mungkin terlalu sukar untuk kita bayangkan bagaimanakah lelaki dan wanita menjadi dua elemen yg saling bercakaran sehingga kita tidak dapat menggambarkan bagaimana seorang lelaki menjadi musuh dalam menuntut persamaan hak seperti yg terjadi hari ini. Meskipun terdapat beberapa perkara yang ditegah keatas wanita dan beberapa kelebihan yang diberikan kepada lelaki, sebenarnya mengandungi hikmah yang tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Wajarlah bagi kita mengetahui bahawa disana adanya persamaan yang diberikan hak tersebut terhadap lelaki dan wanita oleh Islam.


KONSEP PERSAMAAN MANUSIAWI.

1.Dalil Quran:
Pengucapan Al-Quran memperjelaskan konsep persamaan manusia terhadap lelaki dan wanita samaada ianya berkaitan dengan tegahan, larangan, suruhan, pengkhabaran, peringatan, kelebihan dan sebagainya. Pengucapan tersebut menunjukkan adanya persamaan diantara lelaki dan wanita terhadap beberapa perkara seperti Firman Allah: (Al-'Asr 2-3) (An-Nisa 1) (Al-Infitor 6-8).
Uslub bahasa yang digunakan dalam pengucapan ini tidak terhad terhadap lelaki sahaja bahkan ianya meliputi juga terhadap wanita. Jelas dalam konsep ini kesatuan antara lelaki dan wanita itu wujud dalam menjalani kehidupan.

2.Dalil Hadis :
Pengucapan Junjungan S.A.W pula memperlihatkan kebersamaan dan kekitaan antara lelaki dan wanita yang terdapat dalam kitab-kitab sunan antaranya sabda S.A.W yang bermaksud; "Sesungguhnya wanita itu saudara kandung bagi lelaki" (riw.Ahmad,Abu Daud dan Tarmizi)
antara lain sabdanya: "Menuntu ilmu kewajipan setiap muslim" (Riw.Al-BaihaQi).


PERBEZAAN LELAKI DAN WANITA.

1. Perbezaan Saintifik.
Adakah wujud perbezaan terdapat lelaki dan wanita? Jawapannya sudah pasti ya, memang wujud perbezaan antara lelaki dan wanita dalam kajian sains antaranya:

1.Berat badan bayi lelaki mengatasi berat badan bayi perempuan dalam kadar 5%. Pada usia 14 tahun wanita mengatasi lelaki dalam kadar 20%, namun pada usia 16 tahun berat lelaki kembali mengatasi perempuan dalam kadar 20% sehingga berumur 20 tahun.
2.Espek ketinggian. Ketinggian lelaki lebih mengatasi wanita, ini berlaku sejajar dengan pertumbuhan berat badan. Ketinggian wanita terhenti ketika berumur 18 tahun, manakala ketinggian lelaki akan terhenti ketika berumur 21 tahun.
3.Espek kekuatan otot. Otot lelaki lebih kuat jika dibandingkan dengan otot perempuan.
4.Espek jasad lahir(biologi). Perbezaan ketara antara lelaki dan perempuan seperti bersuara garau bagi lelaki, tumbuhnya jangkut, misai dan bulu disebabkan hormon yang dikeluarkan oleh ovari dan ovum.
5.Espek tingkah laku. Perbezaan pada espek ini ketara pada wanita seperti:
5.1 Wanita lebih cenderung pada nilai agama, kesenian manakala lelaki lebih cenderung kepada ekonomi dan politik.
5.2 Lelaki lebih prihatin pada pemikiran, merancang dan melaksana, manakala wanita lebih cenderung kepada individu.
5.3 Topik yang hangat dibicarakan dikalangan lelaki sama lelaki adalah masalah harta, pekerjaan dan permainan, manakala wanita lebih suka membicarakan hal orang lain.

2. Perbezaan Pengamatan.
Al-Imta' Wa Al-Mua'nasah karangan Abu Hayyan Al-Tauhidi menyebut pengamatan manusia dahulu terhadap kehidupan meliputi bukan sahaja lelaki dan wanita tetapi termasuk juga haiwan. Antaranya:
1. Lelaki mempunyai gigi sebanyak 23 batang, manakala wanita pula sebanyak 30 batang. Gigi orang yang dikasi pula sebanyak 28 batang.

2. Lelaki lebih merindui wanita pada musim sejuk, manakala wanita adalah sebaliknya.

3. Telah dibuat eksperimen terhadap burung betina, jika ia tidak mengeram ia akan sakit.
4.Burung gagak betina sentiasa berada di sarangnya sahaja manakala burung gagak jantan akan membawakan makanan utknya.

Perhatikan pula pada Firman Allah (Al-An'am 38). Kebenaranan terhadap perjalanan kehidupan makhluk Allah.

3. Dalil Quran.
1.Cenderung wanita terhadap perhiasan (Al-Ahzab 28)
2.Kelemahan wanita dalam perbalahan (Al-Zukhruf 18)
3.Kesukaan wanita menceritakan hal orang lain (Yusuf 30 )
4.Wanita menggoda lelaki (Yusof 28)
5.Begitulah tersiratnya dimulakan penzina perempuan dr penzina lelaki (An-Nur 2)
6.Manakala dalam melakukan jenayah didahulukan lelaki (Al-Maidah 38)


KEUTAMAAN LELAKI.
Setelah dilihat perbezaan antara lelaki dan wanita wajarlah bagi kita untuk mengetahui pula apakah keutamaan yang diberikan kepada seorang lelaki sehingga dapat dibezakan antara tanggungjawab dua elemen ini. Allah telah nyatakan dalam firmannya (An-Nisa 34)
memperjelaskan lagi tentang kelebihan yang diberikan kepada seorang lelaki melebihi wanita.


PERSAMAAN.
Perbezaan antara lelaki dan wanita setelah dilihat dalam beberpa perkara tadi, namun disana kedapatan juga persamaan yang diberikan oleh Islam terhadap wanita. Persamaan tersebut melambangkan ketinggian Islam dalam memartabatkan wanita, yang pada asalnya dipinggir oleh golongan jahiliyah. Begitu juga dengan golongan Romawi, Yahudi, Masihi, Yunani dan Hindu. Qhadiyyah wanita ialah qhadiyyah terhadap bapa dan anak2. Selama mana didunia ini bapa-bapa dan anak-anak merupakan golongan yang menghormati dengan kemulian yang amat dalam terhadap wanita dan tidak membezakan antara kemulian dan pengurniaan dan golongan mereka yang tenggelam di dalam was-was dan prasangka terhadap wanita, sehingga menuntut persamaan hak antara lelaki dan wanita.

Penjelasan ini akan memperjelaskan persamaan antara lelaki dan wanita antaranya seperti berikut :

1.TANGGUNGJAWAB KEPADA ALLAH.
Merupakan persamaan yang paling utama antara lelaki dan wanita, tanggungjawab ini adalah amalan yang besar yang tidak terpikul oleh lelaki. Suatu amalan yang terlalu besar iaitu hijrah dengan kerelaan, hijrah kerana pengusiran, menanggung kesukaran di jalan Allah, menyampaikan manhaj Ilahi yang tidak lain tidak bukan lelaki dan wanitalah yang bersama-sama memikul tanggungjawab tersebut. Sebagaimana Firman Allah (Al-Taubah 71-72).

Antara lain persamaan tersebut boleh dilihat dalam beberapa perkara iaitu:

1.Melakukan amalan.
1.1 Menunaikan kewajipan solat :
Perintah ini tidak hanya ditaklifkan kepada lelaki sahaja malahan juga di taklifkan kepada wanita walaupun disana wanita mengalami keringanan untuk tidak melakukan solat seperti haid, nifas dan sebagainya. Sebgaimana telah dinyatakan oleh Allah dalam firmannya (Al-Baqarah 110) (An-nisa 6).

Begitu juga dalam sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Sesunguhnya solat itu tiang agama, barangsiapa tidak menunaikannya sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama" Riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang dhoif dari hadis Umar.
Telah ditanya kepada Rasulullah apakah amalan yang paling baik? maka Baginda menjawab dengan sabdanya; "Solat diawal waktu" (Bukhari 2782) (Muslim 85/137).
Sabda Rasulullah s.a.w.; "Barang siapa memelihara sembahyang lima waktu dengan sempurna wuduk dan waktunya, adalah baginya cahaya dan tanda pada hari akhirat, dan barang siapa mensia-siakannya, nescaya dikumpulkan ia (kelak di neraka) dengan Fir'aun dan Haman." - Riwayat Ahmad( 2/169) .
Daripada hadis abdullah bin amru. Nabi s.a.w. bersabda; "Siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka dia kufur terang-terangan." - Riwayat Atthabarani
Disana dapatlah disimpulkan persamaan dalam menunaikan kewajipan solat ini tidak hanya tertanggung kepada lelaki sahaja malahan ianya juga turut diperintahkan kepada wanita menunjukkan kebersamaan antara lelaki dan wanita dalam melakukan amalan.

1.2 menunaikan kewajipan puasa :
Sebagaimana dimaklumkan puasa adalah merupakan ibadat yang mempunyai hikmah-hikmah yang tersendiri. Adapun kewajipan puasa itu telah jelas termaktub di dalam Al-Quran seperti firman Allah (Al-Baqarah 185).
Ini dinyatakan juga didalam hadis yang bermaksud: "Rasululah s.a.w. bersabda; "Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. Aku ini puasa." - Sahih Bukhari Dari Anas,
Rasulullah s.a.w. bersabda; "Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla telah melepaskan kewajipan berpuasa dan sebahagian sembahyang kepada para musafir dan kewajipan berpuasa kepada ibu-ibu yang hamil dan menyusukan anak." - Riwayat Al-Khamsah
Rasulllah bersabda :"Puasa separuh daripada sabar" riw.Tarmizi (3519).

1.3 Menunaikan zakat.
Firman Allah(Al-Baqarah 43).(taubah 34)
Sabda Rasulullah : "Terbina Islam itu diatas lima perkara....Penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya nabi itu hambanya dan utusanNya, menunaikan solat dan menunaikan haji (bg yg mampu)..(bukhari 8) (muslim 16/21_19).

1.4 menunaikan haji.
Firman Allah (al-Maidah 3).
sabda Rasulullah; "Barangsiapa yang menunaikan haji dan tidak berkata-kata dengan perkataan keji dan tidak melakukan maksiat keluarlah dosa-dosanya seperti hari pertama dia dilahirkan dari perut ibunya" (muslim1350/438)(bukhari 1521) dr hadis Abu Hurairah.

1.5 Amalan-amalan lain.
Berikut antara amalan-amalan yang diperlihatkan persamaan yang wujud antara lelaki dan wanita iaitu :

1.5.1 Menuntut Ilmu :
Wanita dan lelaki diberikan kebebasan oleh islam utk pergi menuntut ilmu sebagaimana firman Allah :(Al-Imran 18)(Al-ramzu 9). (taubah 122). Begitu juga seperti mana yang disabdakan oleh Nabi S.A.W: "Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan di fakehkannya dalam soal agama....." (bukhari 71) (muslim 1027/175)(tarmizi 2682) ( ibn majah 223) ibn habban drpd hadis ibn darda'.

1.5.2 Mengajar :
Imam Al-Sayuti dalam kitabnya Tadrib Al -Rawi menjelaskan Al-Rawiyah Al Asyariyyah telah menyebut perawi wanita iaitu Ummu Ibrahim, Imam al-Sayuti memjelaskan bahawa Abu Al-Qasim Al-Soidalani telah meriwayatkan hadis daripada Ummu Ibrahim. Manakala Imam Al-Nasaie di dalam kitab Al-solah pada hadis "Qul Huwallahu Ahad (surah Al -Ikhlas ) menyamai sepertiga Al-quran. Hadis ini adalah dari riwayah Al Asyariyyah yang diriwayatkan oleh seorang wanita.
Memadailah bagi kita Al- Imam Al _hafiz ibn 'Asakir menyebutkan antara para syeikh beliau terdapat lapan puluh orang wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr.Malikah Abyadh didalam bukunya yag bertajuk Al Tarbiyyah wa Thaqafah Al Arabiyyah Al Islamiyyah.

1.5.3 Bekerja :
Tidak kedapatan satu nas yang sohih yang melarang wanita untuk keluar bekerja seperti mana lelaki. Bahkan kita merasakan ada isyarat nas dibebankan ke atas pundak lelaki lantaran untuk memuliakannya bukan untuk memperkecilkan kebolehannya. Wanita hanya bekerja jika keadaan mendesak. Oleh itu, disana wujud persamaan antara lelaki dan wanita.
Firman Allah (Al-Baqarah 233), kita mendapati kewajipan lelaki terhadap wanita yang menyusukan anak menunjukkan rasa belas ihsan Allah kepada golongan wanita. Manakala berkenaan petunjuk yg menjadikan mahar iaitu pemberian tanpa balasan hukum syariat telah menetapkan bahawa suami wajib memberi mahar kepada isteri walaupun isteri seorang yang berada.
Jelas kepada kita tanggungjawab ini bersama-sama dilaksanakan oleh lelaki dan wanita dalam menjalani kehidupan dan menunaikan tanggung jawab kepad Allah.

2.PAHALA DAN DOSA.

Persoalan pahala dan dosa bagi kita sebagai orang Islam berkewajipan mempercayainya. Dosa dan pahala ini merupakan balasan yang diberikan oleh Allah kepada kita sebagai balasan terhadap amalan-amalan yang kita lakukan. Maka disana wujud persamaan bagi lelaki dan perempuan dalam menerima dosa dan pahala ini serta balasan diatas kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan. Oleh itu bolehlah kita bahagikan kepada dua persoalan utama iaitu :

1.Tabiat yang sama dalam melakukan kebaikan.
Perkara ini amat jelas sekali yang dapat kita perhatikan dalam kehidupan dua elemen ini. Melakukan perkara kebaikan adalah perkara yang amat-amat dituntut oleh semua agama apatah lagi agama Islam yang suci murni ini. Allah telah nyatakan dalan firmannya (Al-Ahzab 35) (Baqarah 215) (Baqarah 195) (Yunus 9). Persamaan dalam melakukan perkara kebaikan ini tidaklah tertanggung ke atas pundak lelaki sahaja, begitu juga tidak tertanggung dipundak perempuan sahaja. Maka,lelaki dan wanita bersama-sama mempunyai tabiat yang sama dalam melakukan kebaikan ini. Terlalu banyak hadis yang diutarakan dan disaran oleh Rasulullah dalam mnegerjakan amalan kebaikan diantaranya: "Agama itu nasihat, kami bertanya: "untuk siapa (Ya Rasullah)? Sabdanya: "Bagi Allah, kitabNya, rasulNya, imam-imam muslim dan bagi muslim seluruhnya" (riw.Muslim dr hadis Abi Ruqayyah Tamim bin Aus Addaari r.a).
Dr Anas berkata; Berkata Rasullah: "Sesunggunya Allah redha dengan hambanya yang makan makanan kurniakanaNya dan mengucapkan syukur padaNya atau yang minum minumanNya dan mengucap syukur diatas pemberiannya. (riw.Muslim).
Jelas disini tabiat persamaan ini ada kepada lelaki dan wanita.

2.Tabiat yang sama dalam melakukan kejahatan.
Ini adalah nagetif daripada sikap positif dari dua elemen yang diperbincangkan. Sebagaimana kebaikan dikerjakan oleh lelaki dan wanita begitu juga dengan tabiat kejahatan. Tabiat ini merupakan persamaan yang berlaku terhadap lelaki dan wanita. Ini dapat dijelaskan dalam firman Allah: (Al-taubah 67-68).( an Nisa 31) (Syura 37).
Di dalam hadis pula banyak juga ingatan rasulullah berkenaan dengan amalan yang jahat ini yang patut dihindari oleh keseluruhan umat islam yang tidak hanya larangan ini ditujukan hanya kepada satu golongan lelaki sahaja. Sebagaimana Sabdanya yang bermaksud: "Barangsiapa menukar agamanya hendaklah dibunuh" (Bukhari 3017) dari hadis ibn Abbas. Sabdanya lagi: "Perbezaan antara muslim dan kafir ialah meninggalkan solat ". (muslim 82) dr hadis Jabir.
Bolehlah kita simpulkan disini, bahawa segala perkara mazmumah yang ditegah dilakukan merupakan tabiat yang ditujukan kepada lelaki dan wanita yang sama-sama melakukan perkara ini.
Di dalam Al-Quran banyak menceritakan perihal kaum yang derhaka yang melakukan tabiat yang bersalahan dengan perintah agama. Begitu juga sirah Nabawiyyah yang menceritakan perihal kaum quraisy memerangi kaum muslimin. Adakah amalan tersebut hanya dilakukan oleh lelaki sahaja? Jawapannya sudah pasti tidak.

3. Ketetapan bersama.
Dari Abi Abdirrahman Abdillah bin Mas'ud telah berkata: Telah bersabda Rasullah dan dialah yang selalu benar dan yang dibenarkan. Sesungguhnya tiap orang diantaramu di kumpulkan pembentukkan di dalam rahim ibunya dalam 40 hari berupa nutfah, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat, maka ia meniupkan roh padanya (dengn kehendak Allah) dan diperintahkan dan ditetapkan dengan 4 perkara: 1.ditentukan rezekinya. 2.ajalnya. 3.amalannya. 4.derita atau bahagia. Maka demi Allah yang tiada Tuhan melainkanNya. Sesungguhnya seorang diantara kamu mengerjakan pekerjaan ahli syurga tiadalah seorang diantara dia dan syurga kecuali sehasta sahaja. Maka mendahuluilah atas ketentuan Allah, kalau ia mengerjakan pekerjaan ahli neraka, maka dia pun masuk neraka. Dan sesungguhnya seorang diantara kamu mengerjakan pekerjaan ahli neraka sehingga tiada diantara dia dan neraka itu kecuali sehasta sahaja, maka ia mendahului ketentuan Allah atasnya, lalu ia mengerjakan pekerjaan ahli syurga maka dia pun masuklah ke dalam syurga " (Riw. Bukhari dan Muslim).
Melalui hadis ini dapat kita perhatikan ketetapan yang telah diletakkan oleh Allah kepada lelaki dan wanita yang boleh disimpulkan iaitu ketetapan qada' dan qadar dari Allah taala.

3.TANGGUNGJAWAB BERSAMA.
Tanggungjawab merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan samaada bagi kaum lelaki ataupun wanita, dalam Islam wanita juga mempunyai tanggungjawab tersendiri, antaranya:

3.1 Menyuarakan pendapat:
Wanita di boleh kan menyuarakan pendapat dan membuat keputusan,antaranya:

3.1.1 Hak wanita dalam menentukan kadar mahar

Wanita dibenarkan menentukan kadar maharnya sendiri sekalipun ia mencecah pada tahap yang sangat kecil.
Maksud hadis: Daripda Asim ibn Ubaiidillah berkata: Aku mendengar Abdullah bin Amir ibn Rubaiah daripada ayahnya bahawa seorang wanita dari bani Fazarah berkahwin dengan maskahwin sepasang kasut, lalu Rasulullah S.A.W berkata kepadanya: "Adakah engkau merasa redha dengan jiwa dan harta kamu, berkahwin dengan mahar sepasang kasut? "Wanita itu menjawab "ya". Maka rasulullah s.a.w. mengharuskan perkahwinan tersebut. ( Riwayat At-Tarmizi ).

3.1.2 Wanita berhak memberi keputusan dalam urusan perkahwinan.

Manakala dalam urusan perkahwinan juga, wanita dibolehkan membuat keputusan untuk menerima lamaran, sepertimana hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah r.a daripada nabi s.a.w "seseorang al-Ayyim (janda) tidak dikahwinkan melainkam setelah diminta izinnya dan perawan juga tidak boleh dikahwinkan melainkan setelah diminta izinnya. "Para sahabat bertanya: "bagaimana cara keizinannya?". Rasulullah menjawab: "iaitulah dengan diam."

3.1.Hak berumahtangga.

Kemungkinan sebelum ini kita menyangkakan Islam ini sekadar menuruti restu anak perempuan dan membiarkan ia, mengikut sesuka hatinya dengan mengabaikan individualiti (kebebasan hak-hak peribadi) ibu bapa. Sesungguh nya islam tidak melakukan sedemikian lebih lebih-lebih lagi bagi wanita yang ingin mendirikan rumahtangga.Islam telah memberi tumpuan yang khusus dalam pembentukan sel-sel masyarakat, jesteru itu islam memfokuskan kepada individualiti wanita. Demikian juga Islam memberi tumpuan kepada individualiti ibu bapa, tambahan pula ibu bapalah orang yang paling dekat dengan anak-anaknya dan prihatin terhadap anak-anak mereka. Lantaran itu islam telah mensyariatkan mengadakan perbincangan dengan ibu bapa ketika pertunangan anak perempuannya. Islam juga telah mengasaskan kaedah sepertimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud Dan Ahmad maksudnya: "Berbincanglah dengan wanita dalam soal anak perempuan mereka."

3.2Tanggungjawab memelihara harta
Persamaan lelaki dan wanita dalam harta peninggalan waris: Firman Allah s.w.t yang bermaksud: Untuk lelaki ada bahagian dari peninggalan ibu bapa dan karib terdekat, dan untuk perempuan ada pula dari peninggalan ibu bapa dan karib yang terdekat, baik sedikit ataupun banyak, sebagai bahagian yang telah di tetapkan. Sila Rujuk (An nisa 7, 11,12,176).

3.3 Kebebasan individu
Kita sedia maklum "kemanusiaan" wanita telah ditetapkan oleh al-Quran dan ketetapan manusia sebegini adalah satu martabat yang telah diangkat oleh Allah s.w.t terhadap wanita.sesungguhnya taklif (bebanan tugas ) umum adalah tanggungjawab yang dipikul bersama di dalam syariat islam antara lelaki dan wanita. Apa jua perkara yang di taklifkan oleh Allah kepada orang muslimin dalam bentuk umum, ia juga merupakan perkara yang melibatkan lelaki dan wanita. Ini dinyatakan sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh membuat kebaikkan, dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Allah menjanjikan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan (akan beroleh ) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. (At-Taubah 71-72).

Antara Persamaan yang didapati di dalam kebebasan induvidu iaitu :
3.3.1 Melayani tetamu

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sohehnya: maksudnya: "Daripada Sahl, beliau berkata, ketika Abu Usaid Al-Saidi mengadakan majlis perkahwinan. Beliau menjemput Nabi S.A.W dan para sahabat baginda. Tidak menyediakan makanan dan tidak melayani mereka melainkan isterinya Ummu Usaid. Beliau merendamkan buah tamar di dalam sebuah bekas sebaik saja nabi selesai makan dia memerah tamar itu dan memberi nabi minum air perahan tamar itu kepada baginda, beliau juga mengkhususkan untuk nabi hidangan makanan." Berkata Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqalani: haddith ini menunjukkan bahawa wanita boleh berkhidmat kepada suami dan para tetamunya. Jelaslah keharusan ini ketika tiada fitnah dan tertutup aurat. Harus bagi suami menggunakan khidmat isterinya untuk perkara sebegini. Ini merupakan hakikat ilmiah yang telah ditetapkan oleh Rasulullah S.A.Wsendiri dan semua ulama' muktabar.

3.3.2 Melamar lelaki
Sebagaimana diketahui umum, kebiasaanya lelaki melamar wanita. Walau bagaimanapun Islam membolehkan wanita untuk melamar lelaki. Inilah antara bentuk persamaan antara lelaki dan wanita. Hadith -hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menjadi sumber hukum Islam. Seorang wanita telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W berkaitan haji untuk bapanya. Al Fadhl ibn al-Abbas mengiringi nabi ketika itu, beliau seorang pemuda yang kacak dan demikian juga dengan wanita itu, masih muda dan rupawan. Al-Fadhl melihat kepada wanita itu lantas wanita itu membalas pandangannya. Rasulullah s.a.w memalingkan wajah Fadhl. Al-Abbas berkata kepada nabi s.a.w "Engkau palingkan leher sepupumu. "Saudara Al-Fadhl iaitu Abdullah ibn Al Abbas hadir bersama ketika itu. Wanita tersebut berada disamping bapanya. Bapa wanita tersebut mempelawa Rasulullah melamar anak wanitanya. Bapa wanita itu mengarahkan anaknya agar bertanya sendiri kepada Rasulullah supaya Rasulullah mendengar sendiri suara wanita tersebut dan melihatnya sendiri bagi tujuan perkahwinan. Pertemuan begini tidak ditegah oleh syariat. Syariat hanya menegah Al Fadhl melihat wanita. Di sini pokok masalah dan adab-adabnya. Tidak mengapa pertemuan lelaki dan perempuan selagi mana menjaga adab perjumpaan.

3.3.3 Melihat lelaki ajnabi
Al- Imam Al Bukhari mengambil istinbat dari banyak hadith bahawasanya harus seorang wanita melihat kepada lelaki ajnabi (bukan mahram), sekalipun keatas Ummahatul Mukminin (para isteri nabi) yang di fadhukan keatas mereka supaya memakai jilbab di hadapan lelaki ajnabi sepertimana juga Aishah melihat kepada lelaki Habsyi bermain di dalam masjid.

3.3.4 Berbicara dengan lelaki
Barang siapa yang meneliti dialog wanita dengan Rasulullah dan selain baginda akan mendapati dan mengerti tentang kemantapan jiwa wanita. Memadailah kepada kita dialog Hindun binti Utbah bersama Rasulullah s.a.w pada hari pembukaan Kota Mekkah. Beliau datang untuk berakad setia dengan Rasuullah S.A.W ketikamana Rasulullah berbai`ah dengan mereka, baginda bersabda: "Bersumpah setialah denganku bahawasanya kamu semua tidak akan melakukan syirik kepasa Allah s.w.t sedikitpun.Hindun berkata "sesungguhnya kami telah pun mengatakannya." Kemudian nabi s.a.w berkata: "Janganlah kamu semua mencuri. "Hindun menjawab. "Sesungguhnya suamiku seorang yang bakhil, tidak kepada aku dan anak aku sesuatu yang mencukupi" Rasulullah bersabda: "Ambillah apa yang mencukupimu dan anakmu dengan baik:" Kemudian Rasulullah berkata "Janganlah kamu berzina!." Hindun menjawab "Adakah perempuan merdeka berzina?!" Apabila nabi s.a.w bersabda lagi: "Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu." Hindun berkata "kami telah membelanya sewaktu kecil tetapi engkau membunuhnya setelah dewasa. Adakah engkau meninggalkan anak kepada kami tapi engkau telah membunuhnya pada hari Badar." Umar tertawa sehingga ia tersandar. Rasulullah s.a.w tersenyum. Baginda berkata: "Kamu Hindunkah?" Hindun menjawab betul Wahai Rasulullah. Maafkanlah aku dengan apa yang telah berlalu, semoga Allah mengampunkan kamu juga."Apabila nabi bersabda, "Janganlah kamu datang kepadaku dengan berdusta." Hindun menjwab "Sesungguhnya berdusta itu suatu perbuatan keji. Dan apa yang engkau mahukan dari kami ialah kebijaksanaan dan kemuliaan akhlak." Kemudian nabi bersabda: "Dan janganlah kamu menderhakai hak pada kebaikan." Hindun berkata "Demi Allah, ketika kami duduk dalam majlis seumpama ini tidak terdapat sedikitpun di dalam diri kami ingin menderhakaimu pada perkara kebaikan."
Diriwayatkan di dalam sejarah bahawa Hindun datang menemui Nabi s.a.w dengan memakai jilbab kerana takut Rasulullah mengenalinya. Apabila Rasulullah mengenalinya, ia membuka jilbabnya. Inilah dia Hindun yang memiliki keperibadian yang istimewa dan memadailah kepada kita bahawasanya anaknya Muawiyyah merasa mulia dan berbangga apabila ia berkata "akulah anak Hindun". Rasulullah juga berbalas dialog dan Baginda tidak mengherdik dan menegahnya. Rasulullah juga tidak berkata kepadanya "Engkau tidak berhak untuk campur tangan di dalam urusan sebegini. "Rasulullah juga tidak menegah Hindun membuka jilbabnya di hadapan baginda. Inilah dia Islam dan inilah juga wanita-wanita muslimah. Hindunlah yang selayaknya dijadikan contoh teladan.


LELAKI DIDAHULUKAN DALAM BEBARAPA KEADAAN.
Sebagaimana kelebihan yang telah diberikan kepada lelaki mengatasi wanita, perlulah kita mengetahui keadaan-keadaan yang manakah di dahulukan lelaki daripada wanita. antaranya;

1
.Mengimamkan solat;

Imam solat adalah pemberi syafaat di sisi Allah kepada semua orang yang mengerjakan solat. Ulama syariat melihat hakikat ini, oleh itu mereka meletakkan beberapa kreteria atau syarat untuk menjadi imam. Ulama yang menegah wanita menjadi imam bukanlah disebabkan ciri-ciri wanita tersebut tetapi berdasarkan kepada hikmah yang lain. Terdapat banyak masalah dalam pemilihan imam ini berkaitan dengan sifat dan syarat untuk menjadi imam. Kebanyakannya adalah ijtihad ulama yang tiada nas-nas qathie pada syarak.

2.Kepimpinan umum.
Kepimpinan umum yang diutarakan disini ialah ketua negara. Lelaki lebih diutamakan dari wanita dalam menjawat jawatan ketua negara ini. Walaupun soal ini tidak melibatkan masaalah usuluddin, namun persolan kepimpinan ini amat wajarlah diutamakan lelaki terlebih dahulu walaupun tiada tegahan untuk wanita menjadi pemimpin. Syarat dan ciri amat penting dalam permasalahan ini.


WANITA DIDAHULUKAN DALAM BEBERAPA KEADAAN.
Islam tidak memingirkan wanita, dan disana wnita didahulukan dalam perkara seperti :

1.Suri rumah tangga.
Sabda Rasullah: "Setiap kamu adalah pemgembala (penjaga) dan setiap pemgembala bertanggungjawab terhadap gembalanya(org yg dibawah jagaanya) maka wanita adalah penjaga di rumah suaminya dan dia bertanggung jawab trhadap tangungganya"
Oleh itu, kewajaran pelaksanaan wanita sebagai suri rumah di dahulukan dari pada lelaki kerana sifat fitrah semulajadi wanita yang dijadikan sebagai seorang insan yang lemah lembut itu sendiri meletakkan mereka lebih diutamakan dari lelaki dalam dalam soal rumahtangga. Walaupun lelaki sebagai ketua keluarga ini membawa maksud lelaki tidak boleh sekali memainkan peranan monopoli dalam intitusi kekeluargaan kerana ianya akan merosakkan sistem keluarga itu sendiri.

2.Mengasuh anak-anak.
Syara' mengutamakan penyaksian wanita terhadap perkara-perkara yng bersangkutan dengan urusan mereka. Mengutamkan wanita dalam memelihara kanak-kanak, asuhan ini bermakna melaksanakan segala urusan mereka, mengasuh dan menanggungnya. Tidaklah bermakna keseluruhan tanggungjawab itu terletak di tangan wanita malahan kewajipan mencari harta untuk anak dan isteri itu setelah di dipertanggungjawabkan kepada lelaki. Bukahkah terciptanya keharmonian rumahtangga jika elemen-elemen ini salaing bantu membantu seperti yang di sarankan oleh islam.?


KESIMPULAN.
Semoga dengan penerangan yng serba ringkas ini membuka minda kita dalam memahami disana wujudnyaa jurang perbezaan dan persamaan terhdp lelaki dan wanita ini. Kita mengharpkan agar tiadalah suatu hari nanti lelaki menjadi musuh kepada wanita dalam menuntut persamaan hak.


PENUTUP.
Akhir kalam yang baik itu dari Allah yg tidak tu kelemahan penulis ini sendiri Wallahu A'lam.



SUMBER RUJUKAN.
Al-Quran dan terjemahan.
Hadis Soheh muslim.
Status wanita menurut kaca mata islam (Syeikh Abdul majeed subh)
Ahya ulumuddin (Imam Ghazali)
Kitab Kabair (Al-Zahby)
Riyadhus Solihein (Imam Nawawi).
Hadis 40 (Imam Nawawi)

Wednesday, May 13, 2009

MENGAPA OH MENGAPA..??


Sampaikan jika berasakan ia baik untuk sahabat anda!


Mengapa seseorang Yahudi dibolehkan menyimpan janggut untuk mengamalkan kepercayaannya...




...tetapi
bila seorang Muslim berbuat demikian, dia dianggap ekstrim dan pengganas?



Mengapa seseorang rahib boleh meliputi keseluruhan tubuhnya kerana memperhambakan diri kepada Tuhannya...




...tetapi bila seseorang Muslimah melakukan begitu, dia ditekan?



Mengapa bila wanita barat menjadi surirumah,
dia dihormati kerana dikatakan berkorban untuk keluarganya...





...tetapi bila wanita Islam berbuat begitu, mereka kata, "dia mesti dibebaskan!"




Mengapa mana-mana gadis boleh ke universiti dengan berpakaian mengikut kesukaannya kerana punyai hak dan kebebasan...




...tetapi bila seseorang wanita Muslim memakai hijab, dia tidak boleh menjejakkan kakinya ke universiti?




Mengapa bila seseorang kanak-kanak meminati sesuatu bidang, dia dikatakan punyai bakat...




...tetapi bila seseorang kanak-kanak meminati Islam, dia dikatakan tak berguna?



Mengapa bila seseorang Kristian atau Yahudi membunuh, agamanya tidak dikaitkan... tetapi baru sahaja seseorang Muslim didakwa melakukan jenayah, nama Islam turut diadili!



Mengapa bila seseorang berkorban diri untuk melihat orang lain hidup, dia amat disanjungi...




...tetapi bila seseorang warga Palestin melakukannya untuk menyelamatkan diri, keluarga, rumahtangga dan masjidnya,
dia dikenali sebagai seorang pengganas?





Mengapa bila seseorang memandu kereta mewah dengan cara bahaya, keretanya tidak pernah dipertikaikan...




...tetapi bila seseorang Muslim melakukan kesalahan, orang kata ia adalah kerana agama Islamnya!




Mengapa kita terlalu percaya kepada akhbar...




...tetapi selalu persoalkan apa yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim?

Sunday, April 26, 2009

Penerbangan Terakhir

Assalamualaikum.....


MAKLUMAT TENTANG PERJALANAN
• Tempat berlepas : Kehidupan dunia
• Tempoh Perjalanan : Cuma seketika dan beberapa meter dalam perut bumi.
• Destinasi : Akhirat
• Masa berlepas : Ketika di datangi Malaikat
• Masa hadir : Ketika dan selepas Nyawa di cabut
• Bentuk tempahan : Tetap, Pasti, dan tidak akan Berubah


SYARAT-SYARAT PERJALANAN
• Ditujukan kepada semua penumpang.
• Diminta ambil perhatian kerana mereka akan memulakan perjalanan dengan meninggalkan kehidupan didunia dan menuju ke akhirat.
• Sila perhatikan ketua anda, semua (pilot) yang dikhaskan iaitu Malaikat Maut.
• Bagi penumpang yang belum jelas, dapatkan maklumat lanjut daripada kenyataan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah serta menurutinya dengan berhati-hati.
• Sebarang masalah hendaklah di rujuk kepada para ulamak dan cendiakawan.


BARANG MUATAN YANG DI DIBENARKAN
* 5 meter kain kafan putih
* Kapas Putih yang secukupnya
* Muatan lain yang di pertimbangkan :-
- Amal soleh
- Sedekah jariah
- Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya
- Ilmu yang manfaat


PERHATIAN
* Lain-lain muatan yang di tegah adalah tanggungjawab para penumpang.
Barangsiapa yang tidak mematuhinya akan di denda.


SAAT DAN WAKTU BERLEPAS
* Semua penumpang yang sudah mempunyai tiket, passport atau tidak mempunyai kedua-duanya hendaklah bersiap-sedia untuk berlepas setiap saat jika tidak mahu sebarang kesusahan.

*DIULANG*

* Tempahan perjalanan adalah sesuatu yang tetap dan pasti, yang tidak perlu diingatkan lagi. Tapi atas dasar peringatan kepada para penumpang, maka kami menulis untuk anda semua. Hendaklah anda mengambil perhatian yang sewajarnya tentang perjalanan ini.

Terima kasih kepada semua kerana memberi peluang terhadap kami untuk menabur khidmat sepada anda semua.
Semoga bergembira dengan perjalanan yang menarik, sesuai dengan firman ALLAH dalam surah Al-Kahfi;
Ertinya : " Barang siapa mengharap perjumpaan yang baik dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang baik, Janganlah pula mensyirikkan ALLAH dengan sesuatu "

SEKIAN...

berminat? cuba klik disini..